Seorang Remaja Tergamak Buang Bayi Dari Tingkat 13 Seakan-akan hilang pertimbangan diri. Itulah ungkapan yang sesuai untuk mengambarkan situasi di mana seorang remaja sanggup membuang bayi perempuannya dari tingkat 13 sebuah apartment di Farlim, Georgetown. Gara-gara mahu menutup kesalahan diri, remaja berusia 18 tahun itu nekad membuang zuriatnya sendiri.
Dibuang dari tingkat 13, waktu itu ibu bapa remaja berkenaan ada di rumah
Menerusi laporan Berita Harian, ibu muda berkenaan turut merahsiakan tempoh kehamilan tersebut daripada pengetahuan ahli keluarga. Malah ketika kejadian berlaku sekitar awal pagi tadi, kedua-dua orang tua gadis berkenaan dipercayai berada di rumah.
Jasad bayi masih bertali pusat ditemui penduduk setempat
Dek kerana terlalu panik dengan kelahiran tersebut, remaja berkenaan membuang bayinya yang masih bertali pusat melalui balkoni. Jasad si kecil berkenaan bagaimanapun ditemui oleh salah seorang penduduk setempat setelah mendengar bunyi kuat semasa dalam perjalanan ke tempat kerja.
Kejadian kedua berlaku, sebelum ini bayi dibuang dari tingkat 4 rumah flat
Sementara itu, pihak berkuasa Daerah Timur Laut Asisten Komisioner Soffian Santong turut mengesahkan kejadian terbabit dan siasatan masih dijalankan. Menurut beliau, ia merupakan kejadian kedua berlaku di negeri itu dalam tempoh dua bulan apabila seorang bayi perempuan ditemui dalam keadaan bernyawa selepas dibuang oleh ibunya dari tingkat empat sebuah flat pada 15 Mei lalu.
Sumber : Berita Harian